BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, October 10, 2010

KE ARAH MEMPERKASAKAN ISLAMISASI SENI MUZIK SEBAGAI SATU ALTERNATIF



1.0       Pendahuluan
Pada hari ini, budaya hiburan termasuk seni muzik dilihat sudah menyeleweng daripada matlamat asalnya iaitu untuk ketenangan, mendidik jiwa dan merapatkan tautan hati dengan Penciptanya. Ini disebabkan berlakunya percampuran dan pertembungan antara nilai-nilai murni dan unsur-unsur yang kurang sihat yang sering seiring dengan seni muzik. Tambahan pula sejak kebelakangan ini, muncul pelbagai rancangan bercorak realiti hasil cedokan dari luar yang jelas berlainan dengan identiti dan jiwa kebudayaan yang sebenarnya dianuti berkurun lama oleh masyarakat di negara ini. Namun, bangsa Malaysia menyambut baik dan memberi sokongan kuat bagi menjayakan program tersebut yang diadaptasikan dari Barat untuk di pertontonkan kepada umum dalam bentuk konsep yang sama tanpa mengubah atau ‘mengislamisasikannya’ terlebih dahulu. Walaupun diketahui umum bahawa kebanyakannya jelas bercanggah dan bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran namun dengan meresap masuknya pengaruh dan pemikiran Barat dalam minda masyarakat di negara ini menyebabkan ia dianggap suatu trend baru dan rasa kebanggaan kepada sesetengah pihak. Hasilnya, budaya hiburan yang dimanifestasikan pada hari ini, tidak banyak menyumbang ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang positif dan progresif.
Islam tidak menghalang umatnya untuk mengadaptasikan sesuatu sama ada ia berasal daripada Barat mahupun Timur, asalkan ia menepati kriteria-kriteria yang digariskan dan tidak bercanggah dengan syarak.




2.0       Konsep Islamisasi Seni Muzik
Jika diperhatikan seni muzik hari ini, sudah pasti banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kita seharusnya mengislamisasikan seni muzik yang dikatakan bercanggah dengan syariat agar selaras dengan tuntutan syarak. Dengan kata lain, kita hendaklah menyediakan satu mekanisme baru dengan perancangan yang teliti untuk menaikkan martabat seni muzik ke arah yang lebih baik dan dapat mendatangkan kesan positif kepada manusia. Perkataan Islamisasi di dalam bahasa Inggeris ialah ‘Islamization’. Manakala di dalam bahasa Arab pula ialah ‘Islamiyyah’. Di dalam Kamus Dewan, Islamisasi berasal dari perkataan Islam yang merujuk kepada usaha atau proses menjadikan patuh kepada, sejajar atau sesuai dengan ajaran agama Islam. Berdasarkan definisi tersebut Islamisasi seni muzik adalah satu usaha pembebasan seni muzik daripada unsur-unsur tahyul, mitos, animis, sekular dan pengembalian kepada fitrah asalnya iaitu untuk mencari ketenangan dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Pada hari ini, pengaruh sekular semakin menular ke dalam seni muzik. Ini disebabkan seni muzik yang dinikmati bukan lagi untuk mencari ketenangan dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T, tetapi ia semata-mata untuk berhibur, bersukaria, melepaskan hawa nafsu dan ingin bebas daripada kongkongan agama. Seni muzik seumpama inilah yang akan membawa kepada maksiat kerana sudah hilang matlamat asalnya.

3.0       Islamisasi Seni Muzik Sebagai Satu Alternatif
Pada masa ini, seni muzik boleh dinikmati melalui pelbagai cara antaranya menerusi radio, television, internet dan sebagainya yang tidak memerlukan kita menghadiri konsert-konsert hiburan. Maka lahirlah pelbagai program muzik bermanifestasikan realiti, antaranya Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol dan sebagainya. Sehubungan itu, ada pihak yang mendakwa program yang bercorak realiti sebegini dianggap tidak berlandaskan syarak kerana konsepnya diceduk hampir keseluruhannya daripada unsur Barat. Maka produk yang lahir daripadanya juga dikatakan tidak cocok dengan Islam. Jika kita lebih bersikap terbuka dan kreatif dalam menyediakan satu bentuk mekanisme yang sejajar dengan Islam, iaitu dengan sesuaikannya dengan konsep keislaman maka akan dapat melahirkan ramai penghibur-penghibur yang berpotensi bukan sekadar penghibur, malah sebagai pembina budaya dalam masyarakat. Hal ini memberi keuntungan kepada negara. Sekiranya program realiti yang Islamik sifatnya dapat diwujudkan sebagai salah satu cara khusus melahirkan artis-artis Islam, maka ia amat wajar dilakukan pada waktu ini bahkan, ia dilihat lebih berjaya dan berdominasi dalam membawa kesan yang positif dalam menjayakan potensinya.
Sekiranya terlaksananya agenda Islamisasi ini, maka tidak akan timbul lagi kontroversi penghiburnya yang tidak secocok dengan Islam yang lahir hasil produk yang tidak berlandaskan Islam sepertimana yang di uar-uarkan sebelum ini. Di sini juga tidak akan ada lagi persoalan bagaimanakah kedudukan penghibur yang lahir hasil daripada acuan Barat atau Timur kerana yang paling penting ia hendaklah diselaraskan dengan konsep keislaman.
4.0       Kesimpulanya
Merujuk realiti yang berlaku ke atas seni muzik, maka Islamisasi seni muzik merupakan satu keperluan yang amat penting selaras dengan perkembangan seni muzik semasa dunia hari ini. Dengan terlaksananya Islamisasi seni muzik, diharapkan dapat memberi satu alternatif baru kepada umat Islam untuk menikmati dan berhadapan dengan dunia muzik moden. Di samping itu juga, kehendak naluri manusia secara tidak langsung tidak lagi terabai malah dapat dipenuhi dengan jayanya.

Rujukan
Mohamad Kamil Bin Hj Ab Majid Dan  Muhammed Bin Yusof  (2008). Ke Arah   
          Memperkasakan Islamisasi Seni Muzik Sebagai Satu Alternatif :
          Satu Pengamatan Awal


0 comments: