Dunia Seni Khat
1.0 Pengenalan Ilmu Seni Khat
Khat merupakan salah satu daripada hasil kesenian yang indah dan halus. Seni ini lahir dan berkembang dalam penulisan Arab dan terkandung dalam ruang lingkup peradaban Islam. Setelah kehadiran Islam, penulisan Arab telah memasuki tahap perkembangan yang begitu cepat. Pada abad pertama dan kedua Hijrah, khat merupakan salah satu ciri untuk memperindah sesuatu penulisan. Melalui khat, sesuatu maksud dapat diungkapkan. Khat turut menjadi unsur penting daripada cabang-cabang kesenian yang masih terpelihara hingga ke hari ini.
Khat ialah perkataan Arab yang bermaksud garisan. Seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan. Ia juga bermaksud tulisan-tulisan (kitabah) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni. Tulisan-tulisan Arab pula mempunyai nilai dan kaedah tertentu yang mempunyai estetika yang tinggi. Seni khat bukan sekadar wacana penyampai maklumat tetapi mengandungi nilai-nilai abstrak yang disimpulkan dengan kehalusan, kelembutan, kesinambungan, perhubungan, pergerakan, keharmonian dan sebagainya.
2.0 Pertumbuhan Khat Dan Tulisan Arab Pada Zaman Jahiliyah
Terdapat pelbagai pendapat antaranya:
i. Khat yang berbentuk tawqifi'. Kelahiran khat ini ada kaitan dengan sumber ketuhanan. Aliran ini berpendapat bahawa Nabi Adam a.s. adalah pengasas segala bentuk tulisan. Nabi Adam mempelajari daripada Allah dan menulisnya ke dalam pelbagai buku. Setelah banjir surut, setiap bangsa menerima buku masing-masing. Buku bertulisan Arab menjadi milik Nabi Ismail a.s.
ii. Seni khat terdiri daripada khat al-Musnad juga dikenali sebagai khat Arab Utara atau Khat Humairi. Khat ini telah tersebar di persekitaran al-Mundhir dan Syam (Syria). Ini berlaku semasa rombongan perniagaan di antara orang Arab Yaman dan orang Arab yang bermukim di Syria, dan Iraq di utara Semenanjung Tanah Arab. Melalui mereka, khat ini dibawa secara langsung ke bumi Hijaz.
iii. Berkembang hasil daripada khat Nibti (Nabatea). Berdasarkan kepada pendapat G.J Klehr pada pertengahan pertama abad ke-18 terdapat hubungan antara khat Arab dengan khat Nubti (172M). Menurut Th. Noldeke khat Arab berkembang daripada khat Nubti (1865M). Berdasarkan kepada kajian tentang hasil-hasil ukiran sebelum Islam dan pada abad pertama Hijrah, menunjukkan khat Arab terbit daripada khat Nibti. Ukiran tertua yang dapat dijadikan bukti peringkat-peringkat penyebaran dalam perkembangan khat Nibti yang berlaku pada penghujung abad yang ke-3 dan abad ke-4 masihi telah dijumpai di Umm al-Jamal (250M) dan Nammarah (328M). Kedua-dua ukiran ini, adalah dalam bahasa dan tulisan Nibti.
Ukiran Ummul Jamal –Tulisan Nabati ( 250-271M)
Tulisan Humairi bersama terjemahan Arab.
Tulisan Hauran, aliran tulisan Nibti yang paling hampir kepada tulisan arab
CARTA ALIRAN PERKEMBANGAN TULISAN ARAB
3.0 Zaman Rasulullah Dan Sahabat
Islam telah datang membawa perubahan yang besar terutama dalam bidang penulisan. Penulisan telah menjadi perantaraan terpenting dalam penetapan pencatatan, pengajaran dan penghebahan sehingga ia berkembang luas. Selepas hijrah nabi, seni khat telah menjadi manifestasi bagi suatu perubahan yang agung mengatasi perkembangannya selama tiga abad selepas itu.
Penurunan surah al-Alaq ayat 1-5 kepada junjungan mulia Nabi Muhammad telah menjadi titik tolak kepada penulisan. Penulisan telah menjadi penting apabila ia digunakan untuk menulis ayat-ayat suci al-Quran dan terpelihara sehingga kini. Kemudian turun pula ayat-ayat lain yang sering mengaitkan penulisan dengan sumber ketuhanan dan memerintahkan penggunaannya sehinggalah tulisan mendapat kedudukannya dalam kehidupan umat Islam sebagai salah satu keperluan asas.
Pada zaman Nabi Muhammad, baginda memerintahkan para sahabat merakamkan semua maklumat dengan tulisan dan mewasiatkan mereka memelihara tulisan tersebut. Baginda menggesa mereka mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis. Rasulullah s.a.w juga pernah mengarahkan setiap tawanan perang Badar yang baik tulisan dan bacaannya supaya mengajar anak-anak orang Islam seramai 10 orang sebagai bayaran penebusan diri mereka.
Surat Rasulullah s.a.w. kepada Al-Munzir bin Sawi, Raja Bahrin.
Pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin penulisan semakin bertambah dengan meluasnya penggunaan tulisan dalam urusan-urusan agama, pentadbiran dan mu’amalat harian. Zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. (13-23H / 634-644M), sekolah-sekolah didirikan dan guru-guru dilantik.
Apabila para penghafaz al-Quran semakin berkurangan disebabkan syahid di medan peperangan pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit mengumpul dan menulis al-Quran.
Tulisan Khat Arab ( Kufi) di kubur Thabit bin Zaid pada 64H.
Tulisan di Bukit Salaa', Madinah ( Zaman Kulafa' al-Rasyidin)
Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. (23-53H / 644-656M) timbul kepelbagaian cara membaca al-Quran, maka beliau mengambil lembaran-lembaran yang dicatat oleh Zaid bin Thabit dan diletakkan dalam simpanan Hafsah binti Umar r.a. Khalifah Uthman bin Affan telah mencatatkan sebuah mushaf yang dikenali sebagai Mushaf al-Imam. Beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Amru al-Asr, Abdullah bin al-Zubir, Ibn al-Abbas dan Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisham supaya menyalin semula naskhah untuk dihantar ke seluruh pelusuk negeri.
Mushaf Saidina Usman pada zaman beliau sendiri
4.0 Zaman Pemerintahan Bani Umaiyah
Pada zaman Bani Umaiyah, khat mula berkembang maju. Bentuk tulisan pada ketika itu lebih lembut mempunyai nilai estetika yang tinggi. Tanda titik dan baris mula diperkenalkan untuk memudahkan orang-orang ajam (selain bangsa Arab) mengenali tulisan Arab. Ziad (Dato’ Bandar Basrah) merupakan penulis wahyu Rasullullah meminta Abu Aswad al-Du'ali meletakkan tanda titik pada tahun 45 Hijrah, kemudian perletakan baris disempurnakan oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi. Disamping itu penggunaan kertas yang terkenal dengan nama ‘kertas Syami’ adalah salah satu langkah positif dalam usaha meningkatkan penulisan seni khat.
Mushaf Saidina Usman dengan tanda titik oleh Abu Al-Aswad al-Duali pada zaman Muawiyah
Tulisan Kufi yang hampir kepada nasakh yang diletakkan baris oleh al-Farahidi ditemui berusia sejak 135H.
Sebuah tulisan pada zaman Umawiyyah yang mempunyai unsur kelembutan dan permulaan kepada penulisan Khat Nasakh.
Daya Usaha Khalifah Umaiyah
Khalifah Umaiyah telah berusaha untuk menyatukan penulis khat dengan memberikan kedudukan istimewa kepada mereka. Pemerintahan Umaiyah di Syam (Syria) merupakan pemerintah yang mula-mula sekali menekankan penggunaan tulisan khat. Pemerintah Umaiyah telah mengambil langkah mengembangkan seni khat semenjak mula lagi dengan menggunakan ukiran di marmar dan lantai batu berbunga, ukiran huruf dan bunga-bunga di masjid, umpamanya kubah Masjid Baitul Maqdis, Masjid Umawi di Damsyiq, Istana Khiar dan Istana Jusaq. Manakala golongan yang kaya pula berusaha menghiasi al-Quran dengan menjilidkannya serta menghiasi dinding-dinding istana dengan tulisan-tulisan khat yang indah.
Perletakan titik oleh Abu Aswad Ad-Dualli
5.0 Zaman Pemerintahan Abbasiyah
Terdapat dua tokoh yang terkenal iaitu al-Dhahlaq bin Ajalan semasa pemerintahan Abu al-Abbas al-Saffah dan khattat Ishaq bin Hammad pada masa pemerintahan khalifah al-Mansur dan al-Mahdi. Pada zaman pemerintahan kedua-dua khalifah, terdapat sebelas jenis khat, antaranya:
i. Khat Al-Sijillat
ii. Khat Al-Jalil
iii. Khat Al-Dibaj
iv. Khat Al-Tumar
v. Khat Al- Thuluthain
vi. Khat Zanbur (dari Thaqil Thuluth)
vii. Khat Al-Mufattah
viii. Khat Al-Mudammirat
ix. Khat Al-Uhud (dari khat Al-Haram)
x. Khat Al-Qasas
xi. Khat Al-Khirfaj (dari khat Dibaj)
Tulisan Yaqut al-Musta'simi (pencetus Aqlam Sittah) pada zaman Abasiyyah.
Sebuah Mushaf yang berusia sejak zaman Abbasiyyah
Kemuncak Estetika Seni Khat
Keindahan seni khat telah sampai ke kemuncaknya pada tahun 300 Hijrah di tangan ‘bapa’ khat Arab, iaitu Abu Ali Muhammad bin Muqlah, merupakan seorang penulis, penyair, khattat (penulis khat) dan seorang menteri di Baghdad (272-328H / 885-939M). Beliau mempelajari khat daripada al-Ahwal al-Muharral dan merupakan orang yang mula-mula mencipta kaedah menilai penulisan khat dengan menggunakan alif sebagai asas penentuan bentuk huruf, maka terhasillah daripadanya khat yang indah dengan kaedah yang mantap ini dan seterusnya berkembang di timur dan barat.
6.0 Zaman Kerajaan Fatimiyah
Pada tahun 259-566 Hijrah, pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan kehebatan seni khat melalui pendekatan pengindahan pada istana-istana, singgahsana, peralatan rumah, hadiah atau barang-barang antik mereka. Pusat seni khat di Mesir atau dikenali sebagai Dewan Insya’ di ketuai oleh seorang penulis yang handal dan diberikan gelaran sebagai ‘Dastus-Syarif’. Kerajaan Fatimiyah sentiasa memberikan perhatian kepada seni khat terutamanya pada zaman Kerajaan al-Ayubi dan kerajaan Mamluki.
7.0 Zaman Pemerintahan Kerajaan Turki
Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Turki untuk memperindah dan mengembangkan seni khat ialah :
i. Masyarakat memberikan penilaian yang tinggi kepada seni khat, kerana penulis khat berperanan menulis al-Quran, menyalin penulisan sastera dan syair dengan indah berilhamkan ayat-ayat al-Quran dan Hadis.
ii. Kerajaan Turki telah menggunakan pelbagai jenis khat dalam pentadbiran kerajaan, urusan diraja dan ketenteraan. Dalam kurun kesebelas hijrah umpamanya, terdapat lebih kurang 30 jenis tulisan.
iii. Pemerintahan Kerajaan Turki amat menyanjungi tokoh khat dan seni khat. Ini terbukti apabila penulis buku Mira’tul-Haramain (Cermin Dua Tanah Haram) mengatakan: “Penulis khat sultan mendapat gaji sebanyak 400 lera emas Uthmaniyah sebulan”.
iv. Kerajaan Uthmaniyah menonjolkan seni khat sebagai satu ciri publisiti untuk mengukuhkan dasar pemerintahan terhadap rakyat. Di masjid agung Bursyah, Turki umpamanya terdapat slogan berbunyi “Sultan adalah bayangan Allah s.w.t di muka bumi”, dengan ukuran empat meter persegi. Demikian juga terdapat pelbagai slogan di dalam masjid yang lain di Istanbul bertujuan sebagai publisiti kepada sultan. Antaranya ungkapan “pemerintahan yang memberi ilham”, “doa sultan sumber keampunan”, dan lain-lain lagi.
iv. Gereja-gereja banyak dihiasi dengan patung-patung dan gambar-gambar, lalu kerajaan Uthmaniyah menampilkan imej Islam melalui pendekatan menghiasi masjid-masjid dengan tulisan khat. Tulisan khat juga diabadikan untuk memperindah tembok-tembok istana, kolam mandi, bangunan di perkuburan, air pancutan, peralatan, barang-barang kemas dan pakaian.
v. Islam menolak penggunaan bentuk tulisan dan gambar. Ini memberikan cabaran kepada mereka yang mempunyai bakat seni dalam dirinya untuk menggambarkan aspirasinya. Dengan ini membuka ruang yang luas kepada seni khat mengambil alih tugas tersebut.
PERSEDIAAN MEMPELAJARI SENI KHAT
Kepentingan Mempelajari Seni Khat
i. Kepentingan Kepada Individu:
a. Khat merupakan salah satu wasilah perhubungan kemanusian dan merapatkan hubungan antara manusia bagi merealisasikan urusan kehidupan dengan sempurna.
b. Khat juga merupakan sumber rezeki kepada orang yang mempunyai bakat dan kesungguhan dalam bidang ini.
c. Orang yang menyintai khat mempunyai perasaan dan jiwa yang halus serta yakin.
ii. Kepentingan Kepada Masyarakat:
a. Khat digunakan untuk menulis pelajaran, ilmu pengetahuan, akhbar, majalah dan sebagainya.
b. Khat ditulis pada lukisan-lukisan kesenian, papan tanda iklan yang bersifat dakwah dan masyarakat boleh menghayati dan mempelajari kesenian khat itu di setiap tempat seperti di rumah, jalan-jalan dan sekolah-sekolah.
c. Khat adalah alat pemindahan ilmu turas (ilmu warisan) dan ilmu pengetahuan. Ia dapat dibuktikan apabila kitab-kitab itu dihiasi dengan kulit yang indah dengan tulisan yang pelbagai jenis semenjak dahulu.
2. Tujuan Mempelajari Seni Khat
i. Memelihara al-Quran dengan tulisan.
ii. Menjunjung wahyu Ilahi
iv Membantu meninggikan syiar Islam melalui penyebaran wahyu Allah dengan tulisan khat.
iv. Memelihara dan mencatat ilmu-ilmu Islam dan khazanah warisan lampau yang menjadi rujukan muslimin sejagat.
3. Hala Tuju Mempelajari Seni Khat
Masyarakat Islam di Malaysia khususnya serta masyarakat dunia amnya perlu :
i Memartabatkan dan membudayakan tulisan al-Quran.
ii. Mengembalikan kegemilangan tamadun seni Islam.
iii. Memperjuangkan tulisan jawi di Malaysia ke arah melahirkan generasi al-Quran yang mempunyai roh Islam serta mengenali dan mencintai tulisan jawi.
iv. Meningkatkan kefahaman seni khat di seluruh peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi dengan mejadikannya sebagai satu mata pelajaran atau ko-kurikulum yang bergerak aktif dan sistematik
v. Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang banyak melahirkan khattat (penulis-penulis khat ) yang berwibawa melalui seminar-seminar dan aktiviti di bengkel dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu. Muzium Kesenian Islam, Yayasan Restu dan Yayasan Warisan Johor sendiri mempunyai bengkel yang khusus dalam melahirkan penulis khat yang mempunyai daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi
vi. Mengadakan dan menganjurkan pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagaimana negara Turki yang menganjurkan pertandingan setiap 3 tahun. sekali Bertujuan untuk melahirkan penulis khat bertaraf antarabangsa dan berpengalaman.
4. Persediaan Yang Perlu Ada Bagi Setiap Pelajar Yang Ingin Mempelajari Seni Khat
Terbahagi kepada dua iaitu :
i. Persediaan Fizikal
Tubuh badan yang sihat dan anggota yang sempurna. Walau bagaimanapun tidak menjadi masalah dan halangan bagi orang yang sempurna atau tidak cukup sifatnya asalkan mempunyai minat yang mendalam. Sebuah kisah penulis wanita, “Bintu Khaddan Wardi”. Sebagaimana yang telah dinaskan oleh Ishak dalam kitabnya tentang cerita pada zaman Raja al-Kamil pada bulan Syawal 624H telah datang dari Iskandariah seorang perempuan yang tidak menpunyai kedua belah tangan hingga ke siku.
Beliau melakukan segala kerja sebagaimana perempuan-perempuan lain dengan menggunakan kaki. Seorang menteri telah menemuinya dan membawa dakwat, kalam dan pisau lalu diberikan kepada perempuan tersebut. Dakwat itu diambil oleh perempuan tersebut dengan kaki kirinya, kemudian diambil kalam dan diraut dengan pisau, diasah, dibelah dan dipotong melintang kalam tersebut. Seterusnya diambil kertas dan memegangnya dengan kaki kiri dan menulis dengan kaki kanan dengan lebih baik dan cantik dari apa yang ditulis oleh penulis dengan tangan kanan mereka. Maha Suci Allah yang menjadikan sesuatu itu tidak sia-sia. Semoga cerita ini menjadi pendorong dan semangat kepada mereka yang betul-betul berminat untuk mendalami secara lebih luas dalam bidang seni khat ini.
ii. Persediaan Mental
· Minat yang mendalam
· Emosi yang tenang
· Ketekunan yang jitu
0 comments:
Post a Comment